KUALA LUMPUR, 11 Nov: Sejumlah RM374 juta tunggakan sumbangan Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) bagi tempoh 2018 hingga 2021 telah dijelaskan oleh penjana tenaga bebas (IPP).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sejumlah RM68 juta tunggakan pula dalam proses pembayaran oleh IPP.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, jumlah tunggakan AAIBE bagi tempoh 2018 hingga 2021 adalah sebanyak RM442 juta.
“Kesemua syarikat tunggakan elektrik ini telah memberikan kerjasama yang baik untuk menyelesaikan tunggakan mahupun sumbangan tahun semasa.
“Kementerian sentiasa konsisten memantau hal ini melalui mesyuarat jawatankuasa AAIBE dan semestinya mengadakan perbincangan lanjut dengan syarikat penjanaan elektrik terlibat untuk membantu mereka melunaskan bayaran,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Yeo Bee Yin (Pakatan Harapan- Puchong) mengenai jumlah tunggakan yang belum dijelas oleh IPP mengikut syarat lesen.
Tambah Fadillah, jumlah dana AAIBE setakat 30 September 2024 adalah sebanyak RM866.68 juta.
“Daripada jumlah ini RM606,961 merupakan pelaburan tetap manakala RM147.87 juta diperuntuk bagi projek komited sedia ada,” katanya.
Sementara itu, mengenai cadangan supaya memperuntuk sebahagian dana bagi insentif perkembangan penstoran elektrik, perkara itu kata Fadillah akan dibincangkan dengan Lembaga Amanah AAIBE.
“Saya akan bawa untuk dibiincangkan pada Lembaga Amanah untuk melihat apakah bidang yang dicadangkan boleh dimasukkan sebagai sebahagian sumbangan untuk kita kembangkan khususnya dalam sektor tenaga baharu, termasuk penyimpanan tenaga,” katanya. -TVS



