KUCHING, 11 Nov: Sebanyak 14 kawasan perindustrian akan dibangunkan di seluruh Sarawak dengan peruntukan keseluruhan RM40 juta pada 2025.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sebagai usaha mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan di Malaysia.
“Projek utama termasuk kawasan perindustrian Sibu dan Bau, Taman Perindustrian Limbang, Kluster PKS Samalaju serta Kawasan Perindustrian Rantau Panjang Fasa 2,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurutnya, dengan infrastruktur berkualiti tinggi dan insentif menarik, kawasan perindustrian akan menyokong aktiviti pengeluaran berskala besar dan eksport serta meningkatkan ekosistem perindustrian Sarawak.
Tambahnya, sejumlah RM5 juta diperuntukkan pada 2025 untuk pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi di Kuching bagi meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam industri semikonduktor.
“Taman perindustrian ini akan mendorong inovasi dalam bidang semikonduktor dan pembuatan maju, reka bentuk serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Matlamat strategik adalah untuk menarik pemain R&D terkemuka dari Eropah dan Amerika Syarikat untuk menjadikan Sarawak sebagai pusat global bagi teknologi maju pada masa depan,” ujarnya. -TVS



