KUCHING, 9 Nov: Dalam usaha mengukuhkan disiplin dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), satu pindaan baharu dicadangkan bagi menangani isu tuduhan tidak berasas antara ahli dan kritikan terhadap keputusan Yang di-Pertua DUN.
Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, Yang di-Pertua DUN diberi kuasa membuat keputusan dan menetapkan masa bagi ahli berucap sama ada selama 20 minit, lebih atau kurang.
“Tiada sebarang tuduhan terhadap Yang di-Pertua kerana setiap kenyataan yang merendah-rendahkan atau mengkritik keputusan adalah satu perkara serius, ” katanya.
Menurutnya, pindaan tersebut bertujuan untuk memastikan peraturan lebih ketat dan jelas dalam mengawal tuduhan sesama ahli.
Tambahnya, sekarang peraturan mesyuarat sedia ada tidak mencukupi untuk mencegah tuduhan tanpa asas kerana tidak meliputi isu media sosial dan portal dalam talian.
“Oleh itu, pindaan tersebut akan menetapkan pengertian untuk media sosial dan memastikan bahawa setiap maklumat, kenyataan atau tuduhan yang dibuat mestilah berasaskan kebenaran dan bukti yang sahih.
“Pindaan ini dilihat penting dalam memastikan ketertiban dan kredibiliti institusi perundangan agar sebarang kenyataan yang dibuat oleh ahli di dalam DUN mempunyai ketepatan dan kebolehpercayaan, ” ujarnya.- TVS