KABONG, 9 Nov: Penerima dana Program Sejati Madani diingatkan sentiasa memastikan peruntukan diterima memberi kesan positif kepada penduduk di kawasan tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penerima seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamtan Kampung (JKKK) harus menitikberatkan perkara tersebut kerana niat asal penganjuran program adalah untuk kesejahteraan ekonomi penduduk terutama luar bandar.
“Yang penting selepas dapat peruntukan ini, maka jalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin selepas ini.
“Pastikan pelaksanaan program yang telah dirancang itu akan memberikan kesan dari sudut sosioekonomi penduduk di kawasan masing-masing.
“Kerana hasrat penganjuran program Sejati Madani yang kita adakan ini adalah untuk membantu masyarakat mengembangkan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Tanpa Tunai anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) bertempat di Pusat Penjaja Kabong disini pada Sabtu.
Untuk rekod, Daerah Kabong merupakan penerima tertinggi program tersebut di Malaysia selepas Daerah Saratok. -TVS