KUCHING, 3 Nov: Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat Kolej Komuniti Zon Sarawak 2024 dilihat membantu konuniti setempat menimba kemahiran yang boleh dimanfaatkan bagi menjana pendapatan sampingan.
Timbalan Menteri Jabatan Premier Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, melalui karnival tersebut, komuniti tempatan bukan hanya mempelajari kemahiran baharu malah dapat meneroka peluang keusahawanan sekali gus menambah pendapatan keluarga.
“Kita sedar akan kemajuan teknologi dan perlunya kemahiran baharu yang seiring dengan arus zaman.
“Karnival ini adalah peluang untuk memastikan komuniti terutama di kawasan luar bandar tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Daerah Kuching, Sofhi Jebal semasa menyempurnakan Majlis Penutup Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Zon Sarawak 2024 di Kolej Komuniti Kuching, pada Ahad.
Hasidah menjelaskan, perubahan zaman dengan maklumat berada di hujung jari memerlukan komuniti setempat mempelajari kemahiran untuk memanfaatkan perubahan.
“Ia bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dan mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi terkini,” ujarnya.
Mengenai keusahawanan dalam era ekonomi gig, beliau berkata, ia merupakan antara pilihan kerjaya yang semakin berkembang.- TVS