KUCHING, 2 Nov: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) hari ini menyumbangkan 30 jaket keselamatan kepada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.
Dalam satu kenyataan media, BPHB berkata, usaha itu bertujuan meningkatkan keselamatan sukan air terutama sempena Regata Sarawak 2024 yang sedang berlangsung.
“Sumbangan itu dilaksanakan berikutan tragedi yang menimpa peserta regata dua minggu lalu.
“Penyerahan simbolik jaket keselamatan tersebut diadakan di perkarangan Bintulu Port Corporate Box Tebingan Kuching,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad Ruslan Abdul Ghani menyerahkan sumbangan jaket keselamatan berkenaan kepada Pengawal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Lt. Kol Ding Tiew Wong.
Penyerahan itu turut disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Datuk Sri Fong Joo Chung serta barisan kepimpinan BPHB.
Terdahulu, BPHB menyerahkan sumbangan RM8,000 kepada 16 pengusaha perahu tambang yang terjejas operasi mereka sepanjang Regata Sarawak 2024 yang berlangsung di Sungai Sarawak. – TVS