TANJUNG MANIS, 2 Nov: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak merupakan parti politik dominan dan kekuatannya terletak pada strategi mampan yang menjadi asas perjuangan dalam membela rakyat.
Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sebagai parti yang matang, PBB memainkan peranan dalam mengekalkan kestabilan politik selain memfokuskan pembangunan ekonomi dan peningkatan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, setiap ahli PBB perlu sentiasa peka terhadap perubahan dan memahami aspirasi rakyat bagi memastikan perjuangan parti itu kekal relevan.
“Masa berubah mengikut perederan zaman , maka misi dan visi Parti PBB mesti melangkaui zaman dalam era kecerdasan buatan (AI).
“Sehubungan itu, setiap ahli perlu memahami dasar dan strategi kerajaan khususnya PCDS 2030 supaya dapat memainkan peranan dalam pelaksanaan dan seterusnya dapat manfaat sejajar dengan aspirasi Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tritahunan PBB Cawangan N.41 Kuala Rajang, hari ini.
Menurutnya, PBB mempunyai kepimpinan kukuh dan stabil yang membantu mengekalkan konsistensi dalam pentadbiran politik Sarawak.
Tambahnya, sebagai sebuah parti berpengaruh, PBB dilihat memperjuangkan pembangunan infrastruktur dan ekonomi Sarawak selain terus menarik sokongan rakyat.
“PBB lahir hasil percantuman beberapa parti di Sarawak iaitu Parti Negara Sarawak (PANAS) di bawah pimpinan Allahyarham Datu Bandar Abang Mustapa dan Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) yang diketuai oleh Allahyarham Tuanku Bujang yang bercantum terlebih dahulu untuk membentuk Parti Bumiputera yang kemudiannya bergabung dengan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) yang diterajui Mendiang Tun Datuk Patinggi Jugah Anak Barieng.
“Rundingan awal untuk bergabung dan membentuk PBB diadakan pada September 1972 di antara Parti Bumiputera dengan PESAKA. Hasil daripada rundingan tersebut kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bergabung pada 5 Januari 1973.
“PBB akhirnya didaftar dan ditubuhkan secara rasmi pada 30 April 1973. Mendiang Tun Jugah Anak Barieng dilantik sebagai Presiden pertamanya manakala Tun Taib Mahmud sebagai Timbalan Presiden dan Tun Abdul Rahman sebagai Setiausaha Agung,” jelasnya.
Beliau berkata, pergabungan itu bertujuan meningkatkan taraf hidup serta melindungi masyarakat Bumiputera dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. -TVS