Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak penting elak perpecahan antara wilayah

ByHafeezzur Muzamir

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Tuntutan satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen oleh Sarawak dan Sabah bukan sahaja bertujuan bagi memastikan suara blok Borneo lebih didengari, tetapi langkah itu disifatkan penting bagi mengelakkan keretakan dan perpecahan antara wilayah.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, pertambahan ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak akan menambah keharmonian kerjasama antara ketiga-tiga wilayah dengan beliau menyifatkan ia akan memberi makna yang jitu kepada maksud Persekutuan iaitu “Bersekutu Bertambah Mutu”.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis

“Sudah tentu ada kesan positif jika tuntutan satu pertiga ini dipenuhi, kita akan dapat lihat ia akan mengimbangi kuasa Sabah dan Sarawak di Parlimen dengan ini akan meningkatkan peranan kedua wilayah itu dalam aspek pembangunan dan dasar negara.

“Selain daripada memberikan kekuatan kepada suara Sabah dan Sarawak terhadap isu kritikal diperlukan oleh kedua wilayah itu seperti pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pendidikan, ia juga turut memberikan autonomi untuk mereka meluluskan sendiri tanpa perlu menunggu Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Mujibu tidak menolak kemungkinan akan wujudnya sedikit implikasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sekiranya tuntutan itu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai contoh, mungkin dominasi persekutuan dalam konteks kerangka perlembagaan yang melihat kuasa-kuasa persekutuan itu sedikit sebanyak akan lebih mencengkam kepada Sabah dan Sarawak.

“Namun begitu, saya lebih melihat banyak aspek positif berbanding negatif ke atas tuntutan satu pertiga yang dibuat Kerajaan Sarawak itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mujibur berkata, faktor pembentukan kawasan Parlimen berdasarkan jumlah penduduk di sesebuah lokaliti tidak wajar dijadikan sebagai alasan dalam menidakkan pertambahan ahli Dewan Rakyat dari dua negeri Malaysia Timur itu.

Hal ini, katanya, pembahagiaan kerusi Parlimen di negara ini menekankan kewajaran kepada kawasan luar bandar untuk diwakili, meskipun populasi penduduknya kecil.

“Misalnya, kita bandingkan populasi penduduk di Bangi dan Puncak Borneo yang sedikit terkebelakang dan memerlukan wakil rakyat. Justeru, kewajaran ini lebih penting dibandingkan dengan nisbah populasi kerana kawasan luar bandar itu lebih penting untuk diwakili bagi membolehkan wakil mereka menyuarakan kepentingan di sana,” jelasnya.

Untuk rekod ketika ini, blok Borneo mewakili 56 kerusi Dewan Rakyat dengan 31 kerusi dimiliki Sarawak, dan 25 kerusi lagi diwakili Sabah.

Secara matematiknya, komposisi itu hanyalah 25 peratus dari jumlah keseluruhan 222 kerusi berbanding 74 kerusi asal berdasarkan peruntukan satu pertiga kerusi yang ditetapkan dalam MA63. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan