KUCHING, 31 Okt: Sebanyak 1,462 pemohonan bagi menyertai program Sarawak-Malaysia My Second Home (S-MM2H) diluluskan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) bermula dari tahun 2020 hingga Ogos 2024.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, senarai sepuluh teratas pemohonan ke program itu membabitkan warganegara China seramai 391 orang, United Kingdom (350), Taiwan (262), Hong Kong, (255), Amerika Syarikat (210), Singapura (207), Korea Selata (178), Japun (138), Australia (121) dan Indonesia 117 pemohon.
“Jumlah peserta S-MM2H meningkat sebanyak 22.90 peratus, daripada 441 pada 2022 kepada 542 pada 2023. Pada 2023, jumlah terkumpul simpanan tetap (FD) daripada peserta S-MM2H ialah RM56.7 juta di bank tempatan Sarawak.
“Sehingga Ogos 2024, seramai 386 peserta diluluskan untuk menyertai program itu dengan jumlah terkumpul FD sebanyak RM77.55 juta di bank tempatan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penambahbaikan Program S-MM2H dan Pelesenan Baharu Untuk Ejen S-MM2H di Baitulmakmur 2 pada Khamis.
Menurutnya, tapisan yang ketat tetap dilakukan bagi memastikan setiap pemohonan diluluskan mematuhi kriteria ditetapkan.
“Pada masa sama pemohon perlu bebas daripada sebarang salah laku jenayah di negara asal atau mana-mana negara lain,” ujarnya.-TVS