Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat rersuai selepas perasmian SIBEC 2024. -Foto Jabatan Ketua Menteri Sabah

Potensi hasil laut Sabah jana sektor tenaga boleh diperbaharui

KOTA KINABALU, 19 Okt: Sabah diakui memiliki kekayaan hasil laut yang luar biasa sekali gus berpotensi menjana sektor tenaga boleh diperbaharui, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Perkara itu katanya menggambarkan bahawa Sabah menyimpan harta karun bernilai berbilion ringgit yang masih belum diterokai sepenuhnya.

Menurut beliau, Sabah mempunyai kekayaan laut yang luar biasa yang boleh mencetuskan perubahan besar dalam ekonomi negeri.

“Dari hasil laut yang melimpah di perairan laut dalam hingga kepada potensi besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, negeri ini berada di ambang transformasi besar.

“Kita ada harta karun di lautan kita, namun sebahagian besarnya masih belum diterokai,” katanya pada Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah International Convention Centre hari ini.

Hajiji turut menyeru para pelabur untuk mengambil peluang yang ada untuk meneroka dan memanfaatkan sumber-sumber laut yang masih belum digali sepenuhnya.

Beliau menjelaskan bahawa hasil laut Sabah, seperti ikan dan udang, bernilai sekitar RM3.25 bilion setahun, tetapi sumber berkenaan tidak diterokai sepenuhnya ketika ini.

“Kebanyakan bot nelayan hanya berada berhampiran pantai, sedangkan di perairan laut dalam, banyak lagi yang menanti untuk diterokai,” ujarnya.

Hajiji dalam pada itu menekankan bahawa Ekonomi Biru Sabah bukan sahaja berpusat pada sumber perikanan.

“Potensi Sabah melangkaui sempadan tradisional ini dengan 14 komponen lain yang boleh diterokai, termasuk tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi marin, pelancongan, pengangkutan maritim, dan karbon biru.

“Dengan lebih 1,700 kilometer garis pantai, Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menjadi peneraju dalam sektor-sektor ini,” katanya lagi.

Antara inisiatif paling menarik yang diketengahkan ialah pengenalan Akta Penukaran Tenaga Lautan Terma (OTEC) awal tahun ini.

Teknologi OTEC menggunakan perbezaan suhu antara permukaan laut yang panas dan air laut dalam yang sejuk untuk menjana elektrik.

Menurut Hajiji, Sabah, yang mempunyai 75 peratus daripada rizab tenaga terma laut Malaysia, mampu menjana sehingga 20,000MW tenaga hijau dari perairan Tawau dan Semporna.

“Ini adalah peluang emas untuk Sabah menjadi peneraju dalam penjanaan tenaga bersih,” ujar Hajiji, sambil menambah bahawa tenaga yang dihasilkan juga berpotensi untuk dibekalkan kepada negara jiran seperti Indonesia.

Selain itu, Hajiji berkata, kerjasama Sabah dengan syarikat logistik global DP World untuk membangunkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar juga disebut sebagai langkah penting dalam usaha menjadikan Sabah hab perdagangan serantau.

Hajiji pada masa sama mengajak para pelabur untuk bersama-sama memanfaatkan peluang besar yang ditawarkan oleh Ekonomi Biru Sabah.

“Harta karun kita sudah menanti, kini tiba masanya untuk kita sama-sama menerokanya dan mencipta masa depan yang makmur untuk Sabah,” katanya.

Persidangan dua hari ini menyaksikan perbincangan daripada pakar-pakar antarabangsa yang akan membincangkan peluang dan potensi penuh Ekonomi Biru Sabah, daripada sektor perikanan hingga kepada tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi marin. -TVS

Tags: Anwar, Hajiji, KK

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan