KUCHING, 19 Okt: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima pekayuh perahu regatta karam diteruskan dengan menggunakan teknik sonar untuk mencari objek di dasar perairan Sungai Sarawak.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee berkata, pihaknya melakukan 10 kali selaman pada hari kedua operasi SAR, hari ini.
“Pihak kami telah melakukan 10 kali selaman pada hari kedua operasi SAR, namun masih belum menemui apa-apa petunjuk atau mangsa meskipun dengan bantuan alat sonar yang digunakan di dasar sungai.
“Selain daripada selaman, kita turut mengerakkan 21 buah bot aset yang diguna sepanjang lebih kurang 10 kilometer di sepanjang lokasi kejadian. Namun, kita masih belum menemui apa-apa setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari kedua di pusat Kawalan Operasi Bomba bagi SAR bot karam di Kuching pada Sabtu.
Menurutnya, operasi SAR yang memasukj hari kedua tersebut turut dibantu oleh dua unit dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Terdahulu, lima pekayuh perahu regata dikhuatiri lemas di Sungai Sarawak pada Jumaat ketika menjalani latihan apabila bot mereka karam susulan gelombang pergerakan sebuah bot nelayan yang datang dari arah bertentangan berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Bintawa di sini.-TVS