KUALA LUMPUR, 15 Okt: Penilaian kemampanan Projek Rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) akan dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri November ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Dato Sri Abdul Rahman Mohamad berkata penilaian projek rintis itu dibuat dengan mengambil kira perkara berkaitan dasar, ketersediaan sistem, buku panduan gaji dan panduan latihan.
“Penilaian ini akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif DGP dan akan dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri pada bulan November 2024 bagi mendapatkan hala tuju pelaksanaan menyeluruh dasar ini,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) yang telah dilaksanakan mulai Jun hingga Ogos 2024 yang bertujuan untuk menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan yang diperlukan mengalami beberapa isu berbangkit antaranya ketidakpastian pasca projek rintis dan kurangnya kefahaman majikan dan pekerja berhubung klasifikasi Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO).
“Di samping itu, didapati gaji peringkat permulaan dalam DGP tidak membezakan antara siswazah baru dan pekerja yang bertukar syarikat.
“Pihak majikan turut berdepan dengan kekangan untuk menyediakan dana bagi menghantar pekerja menghadiri kursus bagi memenuhi keperluan kemahiran dan latihan dalam tempoh 21 jam mengikut rangka kerja DGP yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan penilaian terkini terhadap projek rintis itu.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menyatakan seramai 1,892 majikan telah membuka akaun dan 776 majikan telah memohon untuk menyertai Projek Rintis DGP.
Katanya, Projek Rintis DGP mensasarkan 1,000 penyertaan majikan daripada lima (5) sektor yang meliputi tiga ciri utama iaitu penglibatan majikan secara sukarela, insentif daripada kerajaan berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan produktiviti. – TVS