KUALA LUMPUR, 14 Okt: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan perbincangan bersama Institut Jantung Negara (IJN) berhubung kenaikan yuran yang dikenakan kepada pesakit berjumlah 10 hingga 40 peratus kelak.
Timbalan Menterinya Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata walaupun institut berkenaan bukan dibawah Kementerian Kesihatan (KKM), namun keputusan itu secara tidak langsung memberi impak kepada KKM berikutan masih terdapat pesakit-pesakit melibatkan penyakit jantung dihantar ke institut itu.
“IJN adalah di bawah Kementerian Kewangan (MOF) dan juga KKM merupakan klien kepada IJN. Apa yang berlaku ketika ini adalah keputusan daripada pihak IJN, namun kita akan berbincang dan juga akan memperhaluskan apakah punca peningkatan kos yang mereka kenakan kepada pesakit yang mana pada masa sama memberi impak kepada KKM,” katanya menerusi sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan IJN yang mahu menaikkan yuran sehingga 40 peratus kepada pesakit.
Khamis lepas, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Prof Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata kajian semula terhadap struktur bayaran perlu dilaksanakan kerana ia tidak berubah sejak 2003 dan ia mesti mengambil kira inflasi serta peningkatan kos penjagaan kesihatan. – TVS