KUCHING, 13 Oktober: Pelabuhan pendaratan ikan di Sarawak yang baik telah menjadikan negeri Sarawak berpotensi dalam memajukan sektor perikanan dalam negara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, kekuatan prasarana pelabuhan yang mewah dan canggih di Sarawak dapat menjadikan negeri tersebut sebagai peneraju dalam industri perikanan negara.
Katanya, pihaknya memerlukan lebih sokongan daripada vesel-vesel di sekitar Kuching untuk memastikan pendaratan ikan di Tanjung Bako itu aktif selaras dengan kekuatan dan kemodenannya.
“Sebenarnya, kita telah menetapkan syarat kapal yang mendaratkan ikan di Tanjung Bako sahaja yang akan diberi keuntungan untuk membeli minyak subsidi.
“Kita juga berhasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya jeti swasta di sekitar  Kuching ini yang menjadikan pendaratan ikan kepada vesel-vesel besar yang menggunakan kemudahan Tanjung Bako,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Program Rahmah Mesra bersama nelayan Persatuan Nelayan Sri Muara (PNK Sri Muara) di Muara Tebas pada Ahad.
Tambah beliau, pihaknya juga telah melakukan perbincangan bersama pemilik kapal berkenaan perkara tersebut bagi mencapai hasrat untuk memastikan semua vesel-vesel besar di sekitar  Kuching mendaratkan ikan mereka di Kompleks Tanjung Bako.
“Sebab itu, kita dah buat perbincangan dengan pemilik kapal, kita berkolaborasi dengan kerajaan negeri sebab bidang kuasa untuk menutup operasi ini kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” jelasnya. -TVS