KUCHING, 11 Okt: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) kini dalam usaha memodenkan adat tradisi dengan menggunakan undang-undang dan jurisprudens.
Ketua MAIS Datu Ronnie Edward berkata, beberapa adat tradisi dalam kalangan penduduk asal kini dilihat tidak selari dengan perkembangan zaman.
Malah menurutnya, terdapat juga adat yang dicipta sendiri oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau ketua masyarakat tanpa melalui perbincangan.
“Jika anda ke Saratok dan kawasan di Betong, anda akan dapati jika anda tidak menyertai upacara pengebumian malam dipanggil Dayak Antu, anda harus membayar diantara RM300 ke RM 500 untuk setiap sesi yang dianggap kompaun.
“Dalam masyarakat Kayan pula, kebanyakkan adat datang dari arahan ketua atau dipanggil Maren dan penduduk biasa di komuniti tersebut tidak dapat membuat sebarang keputusan.
“Ini (adat) tidak lagi dapat diterima pada hari ini. Perkembangan sosioekonomi sejak lima dekad lalu membawa banyak perubahan sosial. Perubahan ini membawa satu paradigma dalam menilai semula adat di dalam setiap kaum dan dianggap ketinggalan zaman,” katanya.
Ronnie berkata demikian dalam ucapan aluannya pada program Majlis Adat Istiadat bersama Pemegang Taruh 2024 sempena ulang tahun ke-50 MAIS di Kuching pada Khamis.
Menurutnya, proses untuk memodenkan adat tradisi melalui perundangan bukanlah sesuatu yang mudah kerana MAIS kekurangan pakar dalam bidang tersebut.
Tambahnya, MAIS bercadang bekerjasama dengan agensi lain termasuk instusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam menjalankan kajian dan menghantar pegawai bagi mengikuti kursus perundangan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai hadir menyempurnakan majlis perasmian
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputer), Datuk Jefferson Jamit Unyat dan Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak, Jonathan Lugoh. -TVS