KUCHING, 10 Okt: Perbuatan rasuah merupakan salah satu cabang perilaku tidak berintegriti yang berpunca daripada nafsu melampau seseorang individu yang tidak dikawal dengan baik, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu menyifatkan perbuatan negatif itu memberi ancaman besar kepada kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat.
“Masa depan negara kita bergantung kepada sejauh mana kita mampu membanteras rasuah secara berkesan..seperti penyakit barah yang merosakkan tubuh badan secara senyap, rasuah merebak dalam sistem dan mencengkam masa depan rakyat Malaysia.
“Demi memenuhi kepentingan segelintitr individu yang rakus, rasuah merosakkan integriti negara, meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, dan mewujudkan ketidakadilan sosial yang memudaratkan ekonomi kita,” kata Abang Johari.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) 2024 di Dewan Kompleks Islam Kuching, hari ini.
Justeru itu, Abang Johari berkata dalam usaha menentang rasuah, kerajaan berpandukan Konsep MADANI yang berlandaskan nilai-nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat-menghormati, keyakinan, dan ihsan.
“Nilai-nilai ini menjadi panduan utama dalam memacu kerajaan ke arah pentadbiran yang telus, bertanggungjawab, dan beretika, bagi memastikan ketirisan dan pembaziran dapat dielakkan,” katanya lagi.
Tambah Abang Johari kepimpinan dalam sektor awam dan swasta mesti menunjukkan teladan yang baik terlebih dahulu, bagi memastikan kepercayaan rakyat dapat dipulihkan dan dijaga.
“Kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat, dan rakyat sedang memerhati dengan penuh tekun.
“Beban tanggungjawab untuk membuktikan bahawa strategi ini bukan sekadar retorik, tetapi satu tindakan yang tegas, kini terpikul di bahu kita,” katanya lagi. -TVS