KUCHING, 10 Okt: Raptai penuh Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka di sini hari ini berjalan lancar.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, segala persiapan menuju ke hari kemuncak sambutan pada 12 Oktober mengikut jadual.
“Hari ini saya dapat melihat semuanya berjalan lancar. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk tentera, polis dan badan beruniform lain selain kontinjen yang mengambil bahagian.
“Semuanya berjalan dengan baik termasuk persembahan. Saya berharap pada 12 Oktober, cuaca juga seperti hari ini,” katanya.
Beliau yang menteri bertanggungjawab untuk sambutan tersebut berkata demikian semasa raptai penuh istiadat perbarisan dan rapat raksasa sempena sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak hari ini.
Menurut Karim, sambutan akan dimulakan dengan majlis kesyukuran hari ini di Masjid Jamek diikuti khutbah khas pada 11 Oktober melibatkan masjid di seluruh Sarawak.
Kemuncak sambutan merupakan istiadat perbarisan dan rapat raksasa pada 12 Oktober di Padang Merdeka bermula jam 8 pagi diikuti Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Astana Negeri jam 11.30 pagi.
Karim berkata, selain istiadat perbarisan dan rapat raksasa, pengunjung yang hadir akan diburkan dengan persembahan pembukaan dan kebudayaan melibatkan lebih 200 artis budaya serta pelajar di bawah seliaan Majlis Seni Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tunku Bujang dijangka hadir memeriahkan serta menjayakan sambutan tersebut.-TVS



