KUALA LUMPUR, 10 Okt: Polis mengesahkan menerima laporan kehilangan empat murid sebuah sekolah tahfiz di Keramat yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Lazim Ismaul berkata, kesemua mangsa berusia antara 10 hingga 12 tahun.
“Berdasarkan laporan yang diterima, empat murid ini keluar dari pusat tahfiz dan tidak pulang.
“Setakat ini, kesemua mereka belum ditemukan dan usaha pencarian masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu seorang lelaki dikenali Rasidi Othman yang mendakwa sebagai bapa kepada salah seorang kanak – kanak itu berkata, anaknya masih belum ditemui.
Rasidi menerusi siaran langsung di Facebook hari ini turut berkongsi laporan polis yang dibuatnya susulan kehilangan berkenaan.
“Sudah dua hari anak saya tidak balik, minta tolong kawan – kawan tolong,” katanya.
Dia juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubunginya di talian 018-6669863. -TVS.