CYBERJAYA, 10 Okt: Malaysia berpotensi menjadi hab pusat data terbesar di ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang selepas berjaya meraih pelaburan bernilai RM142 bilion setakat ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, pelabur yakin dengan kemampuan Malaysia menerajui pelaburan digital di rantau ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Malaysia juga menjadi antara destinasi ideal dalam kalangan syarikat antarabangsa untuk pelaburan digital.
“Pelabur asing menaruh harapan dan keyakinan tinggi terhadap tanah air kita, ini seharusnya menjadi kebanggaan kita.
“Dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, Malaysia dijangka menjadi hab pusat data terbesar di ASEAN dengan inventori keperluan tenaga sekitar kira-kira 4
gigawatt,” katanya.
Nga berkata demikian pada sidang media Pelancaran Garis Panduan Pusat Data di Bridge Data Centres, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Saidatul Amar dan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Dr Alias Rameli.
Menurut Nga, sebanyak 32 pusat data sudah beroperasi manakala 19 lagi sedang dalam pembinaan bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap keperluan pusat data dunia.
Sementara itu beliau berkata, kementeriannya turut memperkenalkan Garis Panduan Perancangan (GPP) Pusat Data bagi menyeragamkan dan memudahkan urusan perniagaan serta pelaburan di negara ini.
“Dulu tidak ada garis panduan yang jelas. Apabila pelabur asing masuk, mereka mencari garis panduan.
“Pembangunan pusat data itu nanti mampu menawarkan peluang pekerjaan serta penjanaan ekonomi setempat khususnya dagangan dalam talian dan sistem perbankan,” ujarnya.-TVS



