KUALA LUMPUR, 9 Okt: Malaysia bersedia memberi sokongan kepada usaha kemampanan yang dilaksanakan oleh negara anggota ASEAN menerusi peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pada masa sama proses peralihan kelestarian mencabar serta melibatkan kos yang tinggi namun mustahak untuk dilaksanakan.
“Sehubungan itu penglibatan sektor swasta adalah sangat penting dalam membantu negara anggota untuk mencapai kemampanan bersama,” katanya pada Forum Karbon ASEAN 2024 di sini hari ini.
Tambah Nik Nazmi, Malaysia juga tidak terkecuali berdepan cabaran ke arah peralihan kelestarian terutamanya membabitkan kos dianggarkan mencecah ratusan bilion ringgit.
“Oleh itu, adalah perlu untuk mencari pembiayaan yang inovatif sekiranya ingin mencapai sasaran itu secara realistik.
“Jelas bahawa kerajaan tidak mampu menanggung kos sahaja, namun ini membuka peluang untuk kerjasama dan tanggungjawab bersama,” katanya.
Nik Nazmi turut memberitahu kerajaan telah meneroka potensi untuk memperkenal instrument harga karbon (CPI) sebagai sebahagian daripada mekanisme pengurangan pelepasan karbon dengan sokongan Bank Dunia.
Antaranya adalah menerusi cukai karbon atau skim perdagangan pelepasan domestik.
“Usaha ini adalah bagi menyediakan lebih banyak pilihan yang tepat, bukan sahaja untuk menyokong pembiayaan dalam mengurangkan perubahan iklim, tetapi juga untuk mewujudkan struktur untuk mendapatkan industri pemain untuk menyumbang ke arah tindakan iklim,” katanya lagi.
Menurutya, kementeriannya juga sedang menggubal Akta Perubahan Iklim Negara dan Dasar Pasaran Karbon Negara.
Beliau berkata dasar-dasar itu yang dilengkapi dengan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, selain Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) dan Pelan Hala Tuju dan Strategi Pembangunan Pelepasan Rendah Jangka Panjang (LT-LED). – TVS