KUCHING, 9 Okt: Majlis Islam Sarawak (MIS) masih menunggu proses pindah hak milik tanah yang diwakaf untuk dijadikan tanah perkuburan Islam di wilayah ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Mu’al Suaud berkata, perkara itu sedang diusahakan dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
“Kita diperuntukkan kerajaan untuk tanah perkuburan, kalau ikut dari segi pengurusan, pemilikannya hendaklah diletakkan di bawah MIS sebagai pemegang tunggal kepada tanah perkuburan dan tanah masjid serta surau yang diwakaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Zon Selatan 2024 di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak di Kuching pada Rabu.
Mengulas lanjut, kata Mu’al, walaupun tanah tersebut sudah lama diwakafkan namun belum diuruskan dengan sempurna.
Hak milik tanah katanya masih belum ditukar kepada MIS bagi memudahkan pengurusan.
“Tanah lama ini walaupun sudah dijadikan tanah perkuburan, namun belum diuruskan dengan baik termasuk pemindahan hak milik kepada MIS.
“Ini yang kita sedang usahakan, agar geran tanah ini dapat dikeluarkan di bawah nama MIS,” ujarnya.
Mu’al yang juga Setiausaha MIS mendedahkan setakat ini terdapat lebih 400 tanah perkuburan diperuntukkan oleh kerajaan kepada MIS.
Katanya, tanah itu perlu diuruskan dengan baik dan teratur sekali gus mengatasi isu kekurangan tapak pengebumian jenazah.
Antara lain termasuk memastikan kawasan tanah perkuburan turut dilengkapi dengan kemudahan tempat memandikan jenazah, ruang solat dan sebagainya. -TVS