KUCHING, 1 Okt: Bangunan pejabat baharu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) berkonsepkan ‘green building’ bakal dilengkapi dengan pusat pemulihan warga emas yang menghidapi strok dan pusat penjagaan harian, kata pengerusinya Datuk Hanifah Hajar Taib.
Menurutnya pembangunan berhampiran dengan bangunan Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM) itu turut melibatkan sebuah dewan di sini.
“Tujuan kita melaksanakan ‘green building’ ini adalah supaya dapat menjimatkan tenaga, mengelakkan pembaziran dan mengurangkan beban kewangan.
“Untuk kos bagi pembinaan bangunan tersebut dianggarkan kurang dari RM15 juta dan kita sedang membuat penelitian lanjut mengenai kos pelaksaan itu,” katanya.
Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Hanifah, kebanyakkan warga emas masih mempunyai fikiran yang baik dan ingin memberikan inspirasi serta tunjuk ajar mengenai apa yang telah mereka lakukan semasa mereka masih di alam pekerjaan.
“Kita tidak mahu mereka (warga emas) apabila sudah pencen, merasa kesunyian.
“Itulah sebabnya kita ingin mempunyai bangunan sendiri yang lengkap bagi membiarkan warga emas bergaul serta mempelajari mengenai kepentingan penjagaan makanan di usia emas serta boleh berkongsi mengenai pengalaman mereka sepanjang bekerja,” katanya.
Hadir sama, Naib Pengerusi I PERKIM, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Naib Pengerusi II, Datin Hajah Noraini Hussin serta ahli jawatankuasa yang lain. – TVS