Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Pembangunan Usahawan (MTCP) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berucap pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Pelancongan Hornbill Sarawak Ke-9 di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, pada Jumaat.

Strategi Sarawak berjaya hidupkan industri pelancongan semasa COVID-19 – Abdul Karim

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 28 Sept: Keputusan drastik Kerajaan Sarawak menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin bagi pesakit COVID-19 sebelum ini diakui berjaya menghidupkan semula pengoperasian industri perhotelan sejurus ia terjejas teruk susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Pembangunan Usahawan (MTCP) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan bahawa tindakan mengatur semula strategi tersebut turut dipuji penggiat industri pelancongan dari luar negara.

“Apabila saya bertemu pemain industri pelancongan di luar negara, mereka bertanya kepada saya mengapa Kerajaan Sarawak menggunakan hotel untuk kuarantin, malah kita menggunakan hotel 5 bintang sebagai tempat kuarantin?

“Bayangkan jika hotel itu tidak digunakan untuk kuarantin selama dua tahun, sebahagian daripadanya mungkin terpaksa ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Pelancongan Hornbill Sarawak Ke-9 di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, pada Jumaat.

Tambah Abdul Karim, program jenama pelancongan tempatan, ‘Sia Sitok Sarawak’ juga berjaya membuka peluang baharu kepada pemain industri pelancongan tempatan di saat pintu sempadan antarabangsa masih tertutup bagi pelancong luar susulan penularan COVID-19.

Menurut beliau, program yang diperkenalkan khusus untuk penggiat industri pelancongan tempatan itu membantu pertumbuhan industri selain melonjakkan jualan produk pelancongan tempatan.

“Ketika itu pintu sempadan masih ditutup untuk pengunjung luar, itu juga salah satu cara (menyelamatkan industri pelancongan).

“Program Sia Sitok ini berupaya memberi manfaat, sekurang-kurangnya membantu pertumbuhan industri pelancongan, inap desa, serta produk pelancongan kecil yang kita ada di dalam dan sekitar Sarawak,” ujarnya.

Terdahulu, majlis menyaksikan program ‘Sia Sitok Sarawak’ oleh Sarawak Tourism Board (STB) dan Sarawak Tourim Federation (STF) masing-masing menerima Anugerah Khas Hornbill – COVID-19.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board (STB), Sharzede Datu Salleh Askor.

Manakala Anugerah Khas untuk Kecemerlangan Kepimpinan Serantau dalam Pelancongan: ‘Menjuarai Pertumbuhan Mampan’ didedikasikan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai menghargai sumbangan beliau yang telah membawa impak mendalam dan berkekalan kepada landskap pelancongan di Sarawak.

Bertemakan “Wind of Resilience”, Anugerah Pelancongan Hornbill Sarawak Ke-9 telah menerima sebanyak 221 penyertaan daripada pemain-pemain industri dengan 72 peserta layak merebut gelaran juara dalam lapan kategori utama. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan