Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Pelancongan Hornbill Sarawak Ke-9 di Pusat Acara Hikmah Exchange, di Kuching pada Jumaat. Foto Faitullah Morni (TVS)

Sarawak laksana model perniagaan sendiri urus syarikat penerbangan

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 28 Sept: Kerajaan Sarawak mengimplementasikan model perniagaan sendiri bagi meningkatkan ketersambungan udara Sarawak sebagai usaha melonjakkan industri pelancongan di wilayah ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata model berkenaan akan dilaksanakan sejurus Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri yang dijangka akan berlaku pada akhir tahun ini.

“Dan setelah syarikat penerbangan itu diambil alih oleh kita, kita boleh memantau tambang, bermakna ada model perniagaan baru, saya tidak boleh mendedahkannya malam ini, itu rahsia saya.

“Kalau tidak, syarikat penerbangan lain akan tahu kerana kita berdaya saing,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Pelancongan Hornbill Sarawak Ke-9 di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, pada Jumaat.

Menurut Abang Johari ketersambungan udara ini turut akan mendorong kepada penaiktarafan infrastruktur setempat sekitar wilayah ini seperti pembinaan Semenanjung Damai yang bakal menjadi tarikan baharu di Santubong kelak.

Untuk tujuan itu, tambah beliau, jalan raya menuju ke Damai juga akan dinaik taraf kepada empat lorong selain pembinaan lorong khusus untuk Sistem Autonomous Rapid Transit (ART) yang bakal memudahkan pergerakan pelancong ke tempat peranginan di sana.

“Kita ada jalan empat lorong, ditambah dengan ART untuk memudahkan pelancong ke RWMF (Rainforest World Music Festival),” ujarnya lanjut.

Selain itu, Abang Johari memberi bayangan pembinaan infrastruktur lain akan melibatkan perancangan untuk membina lapangan kapal terbang baharu dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur digital, perancangan untuk mengembangkan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dalam usaha melonjak acara perniagaan di Sarawak dan membangunkan tiga hospital swasta baharu untuk menyediakan perkhidmatan dalam industri pelancongan perubatan.

“Dan saya dengan rakan-rakan dalam kerajaan akan menaiktaraf infrastruktur kita dan kita akan dapat melabur dalam industri ini, dan mendorong perniagaan untuk masuk ke Sarawak,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abang Johari turut memuji usaha kementerian pelancongan dan sekutunya serta pihak berkepentingan dalam industri pelancongan yang memberi penekanan terhadap pelancongan bertanggungjawab dalam usaha menggerakkan dasar kelestarian, iaitu salah satu tonggak dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Pembangunan Usahawan (MTCP) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting.

Bertemakan “Wind of Resilience”, Anugerah Pelancongan Hornbill Sarawak Ke-9 telah menerima sebanyak 221 penyertaan daripada pemain-pemain industri dengan 72 peserta layak merebut gelaran juara dalam lapan kategori utama. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan