LIMBANG, 28 Sept: Pengambilalihan pegangan majoriti dalam Affin Bank Berhad oleh Kerajaan Sarawak menjadi langkah penting menuju wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Kerajaan Sarawak kini muncul sebagai pemegang saham terbesar Affin Bank menerusi peningkatan pegangan ekuiti 31.25 peratus.
Menurutnya, pelbagai pendekatan dan kejayaan yang dicapai Sarawak melalui kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memajukan wilayah ini.
“Kita tahu bahawa Premier Sarawak sangat ikhlas untuk memajukan Sarawak dan banyak pendekatan yang telahpun dilaksanakan termasuk pengambilalihan Affin dengan pegangan saham melebihi 30 peratus.
“Ini adalah pengambilalihan aset yang terbaru di Sarawak,” katanya pada Majlis Perasmian Penangguhan Mesyuarat Agung Tritahunan Persatuan Kedayan Limbang (PKL) bagi sesi 2024 hingga 2027 di Dewan St Edmund, Limbang hari ini.
Katanya, pengambilalihan Affin Bank adalah sebahagian langkah strategik yang dilakukan Kerajaan Sarawak tahun ini.
“Banyak lagi pendekatan yang dijalankan Sarawak termasuk memuktamadkan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu dan MASWings Sdn Bhd menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.- TVS.