KUALA LUMPUR, 26 Sept: Jumlah kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) setakat 31 Ogos tahun ini telah mencapai RM41.68 bilion.
Hasil tersebut lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu, iaitu sebanyak RM36.13 bilion, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Kastam Malaysia, Indonesia rampas 247.9 kg dadah dalam operasi besar-besaran
“Ini merupakan pencapaian yang luar biasa dan ia menunjukkan bahawa JKDM berada di landasan yang tepat.
“Hasil daripada strategi yang telah kita buat kini membuahkan hasil,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.
Mengulas mengenai sasaran keseluruhan kutipan hasil tahun ini, beliau yakin JKDM mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan iaitu sebanyak RM56 bilion.
Menurut beliau, pada tahun lalu Kastam telah berjaya mencatat kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion, iaitu naik tiga peratus daripada kadar yang diunjurkan sebanyak RM53.5 bilion. -TVS.