KOTA SAMARAHAN, 23 Sept: Dua lelaki yang hilang ketika masuk ke hutan untuk mencari daun sabong di kawasan perumahan Taman Berlian Stabil di sini, semalam, ditemui selamat hari ini.
Komander Operasi, Hirwandy Sarbini berkata, kedua-dua mangsa Zin Kumpas,37, dan Eddy Rudy,24, dari Kampung Melaban keluar sendiri dari hutan berkenaan pada jam 7.20 pagi tadi.
“Mereka keluar melalui jalan belakang Wisma SALCRA lebih kurang tiga kilometer dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 3.37 petang semalam dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi kejadian.
Pihak bomba hanya menemui motosikal milik mangsa dan ahli keluarga mangsa turut berada di lokasi kejadian.
Menurut ahli keluarga mangsa, kedua-dua mangsa masuk ke hutan untuk mencari daun sabong dan tidak menemui jalan keluar.
Kedua-dua mangsa tidak dapat dihubungi tetapi sempat menghantar lokasi terakhir melalui aplikasi whatapps.-TVS