KOTA SAMARAHAN, 22 Sept: Dua lelaki yang hilang selepas masuk ke dalam hutan mencari daun sabong di kawasan perumahan Taman Berlian Stabil di sini hari ini sempat menghantar mesej lokasi terakhir mereka menerusi aplikasi WhatsApp.
Komander Operasi, Ahmad Shah Sa’ad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut pada jam 3.37 petang dengan menggerakkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati dua lelaki dewasa berusia 24 dan 37 tahun sesat di dalam hutan kawasan perumahan itu.
“Pihak bomba hanya menemui motosikal milik mangsa dan ahli keluarga mangsa turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, menurut ahli keluarga mangsa, kedua-dua mangsa masuk ke hutan untuk mencari daun sabong dan mereka dipercayai tidak menemui jalan keluar.
“Kedua-dua mangsa tidak dapat dihubungi tetapi sempat menghantar lokasi terakhir melalui applikasi WhatApp,” ujarnya.
Katanya, pihak bomba kini giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua- dua mangsa.-TVS