KUCHING, 21 Sept: Sebuah filem tempatan yang mengisahkan kehidupan di dataran tinggi Bario iaitu Tegkang dipilih sebagai pemenang Anugerah Pembikin Filem Baru Terbaik di First-Time Filmmaker Showcase, sebahagian daripada acara berprestij Lift-Off Sessions.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan filem tersebut bersaing di pusingan akhir Season Awards, sebuah acara tahunan di Pinewood Studios, London.
Penulis dan pengarah filem , Josh Nawan memaklumkan beliau menghargai peluang yang diberikan untuknya dalam mengangkat martabat karya tempatan.
Ujarnya, Tegkang yang bermaksud pelangi dalam bahasa Kelabit berjaya menambat hati juri dan diiktiraf bersama filem-filem hebat lain.
“Masyarakat Kelabit, kaum peribumi dari tanah tinggi Sarawak, jarang diwakili dalam dunia seni, jadi pengiktirafan ini sangat bermakna bagi kami.
“Saya amat menghargai peluang untuk berkongsi kisah yang berakar umbi dalam warisan sebegini dan bersyukur kerana filem ini akan disiarkan kepada lebih ramai lagi penonton di luar sana,” katanya.
Tegkang menampilkan pelakon popular iaitu Syafie Naswip dan Michelle Lungan selaku teraju utama, mengisahkan kehidupan di sebuah kampung terpencil iaitu tempat sebuah rahsia yang disimpan rapi selama bertahun-tahun mula terbongkar dengan kehadiran seorang pengunjung yang menjalin persahabatan dengan seorang gadis di kampung tersebut.
Filem ini turut memaparkan keunikan Bario bukan sahaja sebagai lokasi indah yang menarik, tetapi juga sebagai tempat yang kaya dengan pengalaman budaya, termasuk perayaan tradisional dan upacara turun-temurun yang jarang dilihat oleh dunia luar.
Sementara itu, Penerbit Tegkang, Lyn Nasihin menyifatkan kejayaan yang diperoleh itu adalah hasil daripada usaha dan komitmen pihaknya dalam menyampaikan karya asli di Malaysia.
“Filem ini merupakan bukti komitmen pasukan kami dalam menyampaikan karya asli daripada Malaysia, dan anugerah ini mengiktiraf usaha serta semangat kolektif yang dicurahkan untuk pembikinannya.
“Kami berharap agara filem ini akan membantu menarik lebih banyak perhatian kepada pelbagai karya yang ditawarkan oleh industri filem Malaysia,” ujarnya.
Sebagai pemenang Lift-Off First-Time Filmmaker Sessions, Tegkang akan ditayangkan kepada penonton yang lebih luas dan bersaing untuk pengiktirafan lebih lanjut di Season Awards.
Justeru, pencapaian ini adalah satu kejayaan penting bagi komuniti filem Malaysia, bagi menyinari bakat baru serta membuka peluang untuk filem-filem Malaysia ke pentas antarabangsa. – TVS