KUCHING, 12 Jun: Asisten Komisioner Polis (ACP), Mohd Farhan Lee Abdullah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuching yang baharu bagi menggantikan ACP Ahsmon Bajah yang berpindah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuching yang berlangsung di Dewan Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak itu disaksikan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata.
Mohd Farhan, 55, yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Semporna dan berasal dari Setiawan, Perak, mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1993.
Beliau menyatakan komitmennya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat, selain berharap dapat memikul tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan baik.
“Saya berharap dapat mengekalkan apa yang diusahakan oleh Ketua Polis Daerah Kuching terdahulu dan mungkin menambah baik usaha itu selagi boleh.
“Dengan kerjasama masyarakat setempat, saya yakin pihak IPD Kuching boleh buat yang terbaik,” katanya kepada pemberita selesai majlis.
Dalam pada itu, Mancha yakin, Farhan berupaya menggalas tanggungjawab dengan baik serta berharap agar semua pihak memberikan sokongan padu kepadanya untuk memberikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa.