KUCHING, 8 Ogos: Sarawak memutuskan syarat penyertaan minimum sesuatu acara Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 diturunkan kepada dua berbanding tiga sebelum ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkara itu merupakan antara pembaharuan yang dilaksanakan untuk memberi sokongan kepada atlet paralimpik.
Jelas Fatimah, sebelum ini pihaknya berdepan dengan masalah pembatalan acara berikutan tidak memenuhi syarat penyertaan minimum Para SUKMA.
“(Keputusan ini dibuat kerana) pengalaman kita sendiri, apabila atlet para kita sampai ke Semenanjung Malaysia (untuk sertai Para SUKMA) ada yang tidak dapat bertanding kerana tidak cukup syarat jumlah peserta.
“Negeri yang menjadi tuan rumah pula mengikut peraturan yang ditetapkan atau berlaku kesilapan sudut klasifikasi (sukan) tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Teknikal Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini malam tadi.
Turut hadir, dua timbalannya Datuk Rosey Yunus dan Datuk Mohammad Razi Sitam serta Ketua Pegawai Eksekutif Temasya SUKMA 2024, Datu Hii Chang Kee.
Sementara itu tambah Fatimah dua lagi pembaharuan termasuklah had umur atlet orang kurang upaya (OKU) dinaikkan sehingga ke 45 tahun .
Jelas Fatimah pembaharuan dilakukan Sarawak bagi membolehkan atlet bertanding pada temasya itu setelah membuat persiapan rapi.
“Ada atlet berlatih lebih setahun dan menunggu untuk bersaing pada Para SUKMA kerana sukan adalah segala-galanya bagi mereka.
“Oleh sebab itu, kita tetapkan mesti mempunyai sifar klasifikasi dan sifar kesilapan,” katanya lagi.
Fatimah turut menekankan kepentingan sukan terhadap golongan atlet OKU.
“Kita perlu melihat sukan untuk golongan OKU bukan sahaja untuk melahirkan atlet negara tetapi juga sebagai peluang untuk memperkasakan mereka,” tambahnya. -TVS.



