SRI AMAN, 8 Ogos: Masyarakat di Sri Aman diminta tidak melepaskan peluang menyaksikan sukan tinju yang berlangsung di Stadium Tertutup Sri Aman sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, kehadiran masyarakat amat penting bagi memberi sorakan dan seterusnya mencetus semangat dalam kalangan atlet Sarawak untuk bersaing merebut kemenangan pada acara tinju itu nanti.
“Saya berharap penduduk dapat hadir di stadium ini untuk memeriahkan lagi sukan tinju yang merupakan satu acara tarikan dan hangat sempena SUKMA ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Stadium Tertutup Sri Aman hari ini.
Katanya, Stadium Tertutup Sri Aman kini sudah selesai diubah suai sebagai lokasi penganjuran acara tinju.
“Kerja ubah suai stadium tertutup itu kini beralih kepada kerja pemasangan peralatan dan kelengkapan.
“Kita berpuas hati dengan prestasi yang memberangsangkan dari pihak kontraktor berhubung kerja ubah suai ini,” ujarnya. -TVS