MIRI, 8 Ogos: Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) Peringkat Negeri Sarawak 2024 diadakan sebagai platform pemegang taruh iaitu belia menyampaikan maklum balas dan pandangan terhadap draf pelan transisi kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata kesemua input yang diterima akan dijadikan panduan untuk dasar, program inisiatif serta hala tuju untuk pembangunan belia pada masa hadapan.
“Hari ini di Miri kita dapat pengalaman yang sangat banyak dan berbeza. Kita dapat pandangan daripada belia bandar dan luar bandar. Semua ini input penting untuk kita rumuskan dasar, inisiatif, program dan hala tuju kepada pembangunan belia di bawah Kementerian Belia Dan Sukan di masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media dalam Program Kembara Jumpa Orang Muda di Universiti Curtin pada Khamis.
Maklum balas dan pandangan yang diterima akan digunakan untuk memuktamadkan pelan tersebut yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).
Antara kandungan utama pindaan Akta 668 merangkumi penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua atau pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun.
Seramai 849 peserta dalam kalangan belia di peringkat institusi pendidikan dan kelab persatuan yang telah menghadiri program ini pada hari ini.
Program turut dihadiri Timbalan Menteri Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Mohd Azhari Mohammad dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau. -TVS