PARIS, 8 Ogos: Polis Perancis menahan pemain hoki padang Australia, Tom Craig kerana disyaki membeli kokain daripada pengedar dadah di tengah bandar raya ini.
Craig, pemain tengah berusia 28 tahun, kali terakhir beraksi untuk Australia ketika pasukannya tewas kepada Belanda di Sukan Olimpik Paris, pada Ahad.
Sumber polis berkata, dia ditahan pada Rabu selepas selesai “urusniaga kokain” berhampiran sebuah pangsapuri.
Menurut sumber, Craig dipercayai memiliki kira-kira satu gram kokain manakala pengedar berusia 17 tahun yang membawa beberapa jenis dadah termasuk 75 pil ekstasi serta dadah sintetik turut ditahan.
Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC) menerusi kenyataan memaklumkan Craig telah dibebaskan tanpa pertuduhan tetapi diberi amaran oleh hakim pada Rabu.
“Dia telah meminta maaf, menyesal serta mengakui kesilapannya. Kami akan menyokongnya jika dia memerlukan bantuan,” kata chef de mission, Anna Meares.
Akibat perbuatan itu, Craig akan kehilangan semua keistimewaan sebagai atlet Olimpik yang dinikmati serta dipindahkan dari perkampungan sukan.
Atlet berkenaan juga tidak dibenarkan menghadiri majlis penutupan.
Sementara itu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa enggan mengulas mengenai penahanan tersebut pada sidang akhbar. – TVS



