KUCHING, 8 OGOS: Seramai 13,794 pelajar memohon inisiatif komputer riba percuma setakat ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM15 Juta kepada Yayasan Sarawak bagi tujuan berkenaan di bawah Belanjawan Sarawak 2024.
“Kerajaan Sarawak telah memberikan peruntukan RM15 Juta untuk kita membekalkan komputer riba kepada anak-anak kita yang belajar di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kerana kita tahu cara pembelajaran pada masa kini sudah berubah.
“Oleh yang demikian saya dan rakan-rakan dalam KabineT mengambil keputusan untuk mewujudkan program komputer riba percuma ini,” kata beliau.
Abang Johari berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Komputer Riba Percuma dan Penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak (AKPS) ke-31 di sini, hari ini.
Beliau dalam pada itu meyakini inisiatif berkenaan akan memberi manfaat kepada lebih 5,000 orang anak Sarawak yang layak menerusi kriteria yang telah ditetapkan.
Abang Johari turut berharap agar pelajar yang menerima komputer riba percuma ini akan menggunakannya dengan baik untuk memudahkan pengajian dan pembelajaran pelajar anak Sarawak.
Terdahulu, majlis menyaksikan Abang Johari menyampaikan sumbangan komputer riba percuma itu kepada seramai 50 orang pelajar di sini.
Mereka terdiri daripada pelajar Swinburne University Of Technology, i-Cats University College, Universiti Malaysia Sarawak(UNIMAS), Universiti Teknologi Mara Sarawak dan Politeknik Kuching.
Mengulas lanjut, Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli berkata tarikh tutup permohonan adalah pada 14 Ogos ini.
Sementara itu Anugerah Khas Premier Sarawak ke-31 turut dianugerahkan kepada sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru dan pelajar yang telah menyumbang dalam bidang pendidikan, baik dari segi peningkatan akademik atau bukan akademik bagi tahun 2022 dan 2023.
Anugerah itu bertujuan untuk mengiktiraf usaha gigih dan dedikasi mereka dalam pencapaian yang cemerlang dalam bidang pendidikan serta menjadi inspirasi kepada para pelajar lain untuk terus berusaha. -TVS



