GEORGE TOWN, 8 Ogos: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengambil tindakan susulan video tular yang memaparkan seekor kucing dijerut leher sebelum diseret dengan sebuah pikap dalam kejadian di Simpang Ampat di sini.
Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata kertas siasatan berhubung kejadian itu dibuka di bawah perenggan Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].
“Ketika ini kita sedang merakamkan keterangan pelaku dan JPV juga dalam proses mengambil kucing tersebut.
“Kita harap semua pihak memberi ruang kepada JPV negeri untuk jalankan siasatan mengikut akta sedia ada,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, tindakan kejam itu mendapat perhatian warganet apabila rata-rata meninggalkan komen mengecam tindakan pelaku selain menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas. – TVS

