KUCHING, 8 Ogos: Dua penggiat seni kreatif di sini yang berdepan masalah kesihatan menerima sumbangan Ziarah Seni Madani Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini.
Sumbangan itu disampaikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kepada pelakon dan krew belakang tabir, Hazzuki Hazmi yang menghidap kanser perut tahap empat dan Talaha Yan, pesakit strok tahap empat.
Hazzuki menerima inisiatif pencen melalui Skim Pencen Ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), hasil inisiatif beliau mencarum bersama PERKESO secara sukarela semasa aktif sebagai penggiat seni.
Selain itu, Hazzuki turut menerima baucar bayaran faedah barangan keperluan kesihatan juga sumbangan PERKESO.
Manakala Talaha Yan menerima Bantuan Ilat PERKESO serta sumbangan barangan keperluan.
Sebelum ini, FINAS mengingatkan agar penggiat seni agar segera mendaftar caruman PERKESO.
Caruman tersebut merupakan inisiatif khas melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah di tandatangani Kementerian Komunikasi dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi memastikan kebajikan penggiat seni terjaga.
Ia juga bagi menggalakkan penggiat seni segera mendaftarkan caruman menerusi agen korporat PERKESO iaitu Persatuan SENIMAN Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).
Atas inisiatif tersebut, FINAS berbesar hati menaja seramai 4,500 Penggiat Seni yang meliputi Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak mencarum PERKESO pada tahun 2024 selama setahun. – TVS



