KUCHING, 8 Ogos: Segala aktiviti berkaitan projek Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) termasuk pelantar benua di Sarawak tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menjelaskan tiada keperluan untuk perkara tersebut diperhalusi oleh Kerajaan Persekutuan kerana aktiviti di pelantar benua tertakluk klepada definisi tanah negeri.
“Kerajaan Sarawak menyatakan secara tegas bahawa sempadan Sarawak bukanlah isu yang sedang dibincangkan melalui platform Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ia jelas dinyatakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 pada 17 Disember 2018,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah kawasan Sarawak diperluaskan oleh Order in Council Sarawak (Pengubahan Sempadan) 1954, dasar laut dan bawah tanahnya, yang terletak di bawah laut lepas bersebelahan dengan perairan wilayah Sarawak
“Pelantar benua dan kawasan laut tertakluk kepada definisi ‘tanah negeri’ di bawah Seksyen 2 Kod Tanah dan berada di bawah kawalan Kerajaan Sarawak berdasarkan Seksyen 12 Kod Tanah,” katanya.
Sharifah Hasidah berkata demikian menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi berhubung isu yang didakwa mengenai sempadan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak sekali gus menyentuh mengenai platform MA63 dalam mencari titik penyelesaian dalam isu ini.
Jelasnya penyelesaian dilakukan dengan merujuk kepada Akta Pelantar Benua 1966, Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984, dan Akta Laut Wilayah 2012.
Menurut Sharifah Hasidah, Akta Pelantar Benua 1966 tidak lagi terpakai kepada Sarawak kerana ia hanya diperluaskan kepada negeri itu selepas perintah darurat (kekuasaan penting) No. 10, 1969.
“Perintah itu telah tamat tempoh di bawah Artikel 150(7) Perlembagaan Persekutuan.
“Meskipun masih terpakai di Sarawak, definisi ‘pelantar benua’, di dalam akta ini jelas menyatakan bahawa pelantar benua tidak boleh menjejaskan wilayah negara atau sempadan perairan wilayah negara dan hak dan kuasa pihak berkuasa negara di dalamnya,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, Kementerian Ekonomi akan memastikan pembangunan kerangka undang-undang CCUS akan mengambil kira sebarang keputusan yang dipersetujui bersama.
Sharifah Hasidah dalam masa sama menambah, Sarawak bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berhubung aktiviti CCUS mengikut undang-undang negeri. -TVS



