KUCHING, 16 Julai: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sarawak diingatkan untuk sentiasa menggalas tanggungjawab mereka dengan penuh amanah dan berintergriti.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, semua ADUN Sarawak khususnya mereka yang menjawat jawatan dalam lembaga pengarah bagi mana-mana syarikat berkepentingan melakukan kesalahan sehingga menjejaskan kerjaya politik mereka akibat terpalit isu rasuah dan pecah amanah.
“Semua ADUN hendaklah menunjukkan kepimpinan yang berintegriti serta memperlihatkan komitmen yang membina ke arah mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan berintegriti seperti diharapkan oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Anti-Corruption And Legal Liability Workshop Untuk Ahli ADUN Sarawak di Waterfront Hotel di Kuching pada Selasa.
Tambahnya, pelaksanaan program itu amat penting bagi mendedahkan undang-undang 17A Akta SPRM 2009 bagi memastikan kesedaran liabiliti korporat dapat difahami oleh semua pihak.
Seksyen 17A Akta SPRM 2009 berkenaan Liabiliti korporat merujuk kepada kesalahan oleh organisasi komersial yang mana peruntukan ini mula berkuatkuasa pada 1 Jun 2020.
Berdasarkan peruntukan ini, organisasi komersial boleh didakwa dan dihukum sekiranya membenarkan pegawai atau kakitangan mereka melakukan rasuah untuk memperoleh sesuatu projek atau mendapat apa-apa faedah bagi organisasi komersial itu.
Seksyen 17A Akta SPRM turut meletakkan beban pencegahan rasuah ke atas organisasi komersial dan pengurusannya yang mana kegagalan untuk mencegah rasuah boleh didakwa dan dihukum di bawah peruntukan ini. -TVS