MIRI, 7 Julai: Sebanyak 33 buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) masing-masing berjumlah RM10,000 kepada sekolah rendah dan RM15,000 bagi sekolah menengah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr. Penguang Manggil berkata, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang turut menerima peruntukan berdasarkan saiz rumah panjang yang diduduki.

“Saya juga telah memberi peruntukan geran MRP kepada semua 33 buah sekolah di bawah jagaan kawasan Marudi.Itu memang dalam jadual saya.
“Begitu juga dengan JKKK, saya bagi setiap JKKK untuk 260 rumah panjang di bawah jagaan saya mengikut kadar tertentu, mengikut saiz rumah panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Apresiasi, Hari Guru dan Gawai Raya SK St. Columba Miri di Hotel Grand Palace pada Sabtu.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah memperuntukkan RM110 juta untuk tahun ini bagi membantu agama-agama lain membina dan menaik taraf tempat ibadat dan sekolah mubaligh.
Dari jumlah tersebut, RM20 juta dibahagikan kepada semua sekolah mubaligh di seluruh Sarawak dengan RM113,000 diperuntukkan bagi setiap sekolah rendah dan menengah. -TVS