Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Peruntukan sehingga RM5 bilion oleh OCBC Group bagi merangsang pembangunan ekonomi mampan di Sarawak.

OCBC Malaysia, Invest Sarawak memeterai MoC biayai pembangunan di Sarawak

ByBernama

KUCHING, 10 Jun: OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Malaysia) telah mengukuhkan sokongannya terhadap aspirasi jangka panjang serta inisiatif strategik yang dipacu kelestarian Sarawak apabila ia memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Invest Sarawak Sdn Bhd (Invest Sarawak).

Pertukaran MoC, yang dibuat semasa pelancaran rasmi Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (“APGH 2024”) di sini hari ini, menyaksikan peruntukan sehingga RM5 bilion oleh OCBC Group bagi merangsang pembangunan ekonomi mampan di Sarawak.

“Peruntukan ini bertujuan membiayai projek berkaitan pembangunan infrastruktur, tenaga boleh baharu termasuk kemajuan teknologi,” kata OCBC Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Dana ini akan disediakan sama ada atas dasar projek atau untuk keperluan pembiayaan korporat yang memanfaatkan agensi negeri, konglomerat, korporat, perusahaan kecil dan sederhana serta pelabur asing.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OCBC Malaysia Tan Chor Sen berkata kerjasama itu telah menggorak langkah ke arah perkongsian yang akan menyumbang secara signifikan kepada keseluruhan pembangunan dan kemajuan Sarawak.

“Sokongan tidak berbelah bahagi OCBC Malaysia terhadap inisiatif strategik Sarawak melalui pembiayaan ini menunjukkan komitmen kami untuk merangsang kemajuan ekonomi, menarik pelaburan dan memacu kemampanan,” katanya.

Pengarah Urusan, Jurubank Kanan dan Ketua Perbankan Pelaburan, Tan Ai Chin dalam pada itu berkata komitmen mereka untuk merealisasikan visi, aspirasi serta matlamat pembangunan Sarawak melangkaui peruntukan pembiayaan ini.

“Kami telah menjadi rakan kongsi yang teguh dalam kemajuan negeri, termasuk yang terkini melalui penyertaan kami sebagai rakan kongsi institusi kewangan eksklusif bagi APGH2024,” katanya.

Dengan memanfaatkan francais OCBC Group yang sedia kukuh, Tan berkata kumpulan perbankan itu akan mempromosikan pelaburan langsung asing dan menawarkan rangkaian penuh produk kewangan mampan termasuk sokongan nasihat untuk memudahkan penyelesaian holistik di seluruh rantaian bekalan perniagaan.

“Penyelesaian pembiayaan ini dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi dengan menyokong pelaburan dalam perniagaan dan teknologi sempadan, mengembangkan keupayaan, dan mewujudkan peluang pekerjaan, memacu perjalanan Sarawak ke arah ekonomi sifar bersih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sarawak Timothy Ong Wye Ern berkata pihaknya amat berdedikasi untuk menarik pelaburan sambil menyuburkan perdagangan serta pembangunan bakat, sejajar dengan visi Sarawak, yang mahu melahirkan masyarakat dinamik yang didorong oleh data dan inovasi, sambil dipacu keterangkuman sosial dan pertumbuhan mampan.

“Justeru, kami mengalu-alukan dan menghargai kerjasama dengan institusi kewangan yang dihormati itu, yang menyediakan akses kepada pembiayaan, memudahkan pelabur mengemudi dalam kawasan pelaburan tempatan,” tambahnya.

Majlis menandatangani MoC tersebut telah disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merupakan pencapaian penting dalam perkongsian antara OCBC Malaysia dan Sarawak ke arah memupuk pembangunan ekonomi serta memacu kelestarian bagi masa depan yang mengutamakan pemeliharaan alam sekitar, kemampanan dan kemakmuran.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan