JAKARTA, 9 Jun: Keputusan mengejutkan wakil badminton Malaysia apabila beregu lelaki Man Wei Chong-Kai Wun Tee berjaya mara ke pusingan akhir pada kejohanan Terbuka Indonesia 2024 yang berlangsung di Istora Senayan hari ini.
Mereka yang menentang pasangan tuan rumah Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi terpaksa berkeringat pada set pertama namun berjaya menumpaskan lawan dengan keputusan 29-27, 21-13
Memiliki perlawanan yang sengit dan gemuruh penyokong tuan rumah, Man mengakui mendapat tekanan namun mampu mengatasinya dan berjaya memenangi perlawanan itu secara ‘straigh set’.
“Ramai penyokong di sini sudah cukup membuatkan kami gementar, namun kami terus cuba fokus memberikan yang terbaik pada perlawanan ini, langsung tidak terfikir untuk mara ke final,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Menurut rakan sepasukannya Tee, kedua-duanya akan fokus pada perlawanan esok apabila berdepan pasangan nombor dua dunia Liang Wei Keng dan Wang Chang yang tidak pernah ditewaskan.
Sementara itu, beregu campuran Malaysia Tan Kian Meng – Lai Pei Jing terpaksa berhenti selepas tewas kepada pasangan China Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin dengan jaringan 16-21, 18-21.
Dengan keputusan itu, hanya tinggal seorang wakil Malaysia yang akan beraksi di pusingan akhir kejohanan ini. -TVS