JAKARTA, 6 Jun: Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao menampilkan aksi kemas setelah menewaskan pemain nombor satu Taiwan, Chou Tien Chen pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2024 hari ini.
Aksi di Istora Senayan menyaksikan Jun Hao tampil yakin pada set pertama dengan merakamkan kemenangan 21-18 walaupun dicabar hebat lawannya.
Pemain di ranking ke-32 dunia itu bagaimanapun tersentak pada set kedua apabila tewas 13-21.
Aksi sengit set ketiga ternyata menjadi milik Jun Hao sesudah merakamkan kemenangan 21-17.
Jun Hao akan membuat perhitungan dengan juara Sukan Asia berasal dari China, Li Shi Feng dalam perlawanan suku akhir esok.
Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wool Yik tersingkir daripada kejohanan selepas tewas 16-21, 14-21 kepada pasangan bukan pilihan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han.
Dua beregu lelaki Malaysia, Man Wei Chong-Kai Wun Tee menebus kehampaan kem badminton negara apabila berjaya mengatasi gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dengan keputusan 21-18, 19-21, 21-12.
Goh Sze Fei-Nur Izzudin turut mara apabila menewaskan wakil tuan rumah, Leo Rolly Carnando – Daniel Marthin dengan keputusan 16-21, 21-16, 21-12. -TVS.
