Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni. Foto, TVS.

RUU pusat tidak boleh ganggu kuasa Sarawak dalam CCUS

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 22 Mei: Sarawak menegaskan haknya mesti dihormati susulan Kerajaan Persekutuan bercadang untuk menggubal Rang Undang – Undang (RUU) baharu berkaitan Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, sebarang usaha untuk mengawal selia penggunaan tanah bagi tujuan penyimpanan karbon di sini memerlukan kelulusan Kerajaan Sarawak.

Kata Hazland, pihaknya difahamkan RUU CCUS yang berasingan akan dibentangkan pada akhir tahun ini.

“RUU yang dicadangkan akan mengawal keseluruhan rantaian nilai CCUS dengan aktiviti penyimpanan CO2 awal tertumpu kepada kawasan luar pesisir dan kawasan daratan pada peringkat kemudian, tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan.

“Pada ketika ini, Kerajaan Sarawak telah meluluskan RUU (Pindaan) Kanun Tanah 2022 dan selaras dengannya, Peraturan Tanah (Penyimpanan Karbon) 2022 telah digubal untuk mengawal penggunaan tanah luar pesisir dan daratan Sarawak, pembangunan tapak penyimpanan, penyimpanan kekal karbon dioksida di tapak tersebut dan pemantauan tapak penyimpanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pindaan dalam Kanun Tanah dan Peraturan Penyimpanan Karbon digubal dalam pelaksanaan kuasa Perlembagaan Sarawak ke atas tanah dan penggunaan tanah untuk penyimpanan karbon.

Dedahnya, tanah di pelantar benua dalam sempadan Sarawak merupakan tanah negeri di bawah kawalan Kerajaan Sarawak.

“Memandangkan perkara di atas, RUU CCUS yang dicadangkan oleh Kementerian Ekonomi tidak boleh mencampuri kuasa Perlembagaan Sarawak ke atas tanah dan penggunaan tanah termasuk penggunaan tanah untuk pembangunan tapak penyimpanan karbon dan penggunaan tanah untuk penyimpanan kekal CO2, dan semua perkara yang berkaitan atau berkaitan dengannya.

“Oleh itu, Kerajaan Sarawak berpendapat bahawa RUU CCUS yang dicadangkan seperti Kanun Tanah Negara, tidak sepatutnya terpakai kepada negeri, dan undang-undang negeri harus mengawal pembangunan CCUS di Sarawak,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak kekal komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan CCUS.

“Kami mengalu-alukan perundingan dan penglibatan yang konstruktif untuk menyelaraskan undang-undang persekutuan dan negeri dalam membangunkan dan meningkatkan industri CCUS dengan matlamat mencapai sasaran sifar bersih Malaysia menjelang 2050,” ujarnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan