KUCHING, 11 Mei: Petinju sensasi Sarawak, Daeloniel McDelon Bong akan turun ke gelanggang malam ini berdepan wakil Thailand.
Pertarungan di Stadium Perpaduan Kuching di Petra Jaya itu akan menyaksikan atlet dikenali sebagai Kilat Boy berdepan Yuttihchai Wannawong sebanyak 10 pusingan.
Bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong yang dijangka memenuhi stadium, Daeloniel akan mencabar juara bertahan itu untuk merebut tali pinggang kejuaraan super bantamweight.
Perlawanan dijadual bermula pukul 9.10 malam yang juga merupakan acara kemuncak sempena Kejohanan Tinju Dunia (WBC) Asia yang berlangsung serentak dengan Terbuka Sarawak.
Sementara itu bagi kategori undercard 5 bout pukul 6 petang ini akan menemukan Arthur Sitta Rodruques dari Brazil dengan Velco Tan dari Singapura.
Wakil Malaysia yang akan turut beraksi pada hari ini ialah Khairul Azim bertemu Johan Sigalinglin dari Indonesia bagi pertarungan enam pusingan Featherweight Bout.
TVS akan menyiarkan secara langsung perlawanan pada hari ini. -TVS.