SELANGAU, 5 Mei: Seorang wanita berusia 47 tahun cedera selepas kereta dipandu hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Kilometer 81 Jalan Selangau- Bintulu di sini, tengah hari tadi.
Komander Operasi, PBK II Abdul Malik Chi berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau menerima laporan berhubung kes itu jam 1.15 tengah hari dengan menggerakkan enam anggota ke lokasi kejadian.
“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta dipandu seorang wanita. Mangsa tidak tersepit dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak melakukan pembersihan tumpahan minyak serta serpihan bekas kemalangan di kawasan berkenaan.
“Setelah semua selesai operasi ditamatkan pada jam 1.30 tengah hari.- TVS