Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jenis plastik yang kerap ditemui dalam persekitaran akuatik tempatan dan global ialah rayon, polietilena dan polipropilena. Foto hiasan Envato

Langkah bersepadu diperlukan untuk tangani isu pencemaran plastik

ByBernama

PUTRAJAYA, 22 April: Langkah bersepadu melibatkan kerajaan, perniagaan, komuniti dan individu sangat diperlukan bagi menangani isu pencemaran plastik, menurut Jabatan Perikanan (DOF).

DOF dalam kenyataan menegaskan bahawa semua pihak perlu mengurangkan pencemaran dan penggunaan plastik, meningkatkan kecekapan sistem pengurusan sisa selain menggalakkan penggunaan bahan alternatif bagi menangani isu itu.

DOF memaklumkan pihaknya menjalankan kajian pencemaran mikroplastik dan makroplastik sejak 2019 di persekitaran akuatik Semenanjung Malaysia khususnya bahagian barat laut dan pantai timur, Labuan serta dalam tisu ikan komersial dan kerang-kerangan.

“Dapatan kajian menunjukkan jenis plastik yang kerap ditemui dalam persekitaran akuatik tempatan dan global ialah rayon, polietilena dan polipropilena.

“Jenis plastik ini digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian terutama dalam industri pakaian, pembungkusan makanan dan lain-lain industri,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan itu sempena Hari Bumi Sedunia hari ini.

Menurut DOF bahan kimia digunakan dalam penghasilan plastik seperti bispenol A (BPA) dan phthalate boleh dirembes dan berakumulasi dalam persekitaran dan sumber makanan justeru menimbulkan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang bahan itu terhadap kesihatan sejagat.

“Hubung kait antara bahan kimia ini dengan masalah kesihatan seperti ketidakseimbangan hormon serta masalah reproduksi telah banyak dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

DOF memaklumkan pendedahan berterusan mikroplastik pada kepekatan yang tinggi kepada ikan akan mengakibatkan pelbagai impak negatif seperti tekanan oksidatif, keradangan, imunotoksik, genotoksik, kerosakan DNA serta mengubah mikrobiota usus yang memberi kesan kepada pertumbuhan dan kualiti ikan.

“Selain itu, kepadatan mikroplastik yang tinggi di pantai penetasan penyu akan meningkatkan suhu pasir pantai sekali gus mengancam perkembangan penetasan penyu,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, DOF mengajak semua pihak untuk bersama-sama melindungi bumi daripada ‘kesengsaraan’ pencemaran plastik.

Sempena Hari Bumi, DOF juga telah melaksanakan pelepasan 100 induk ikan kelisa emas di Tasik Bukit Merah, Perak semalam sebagai usaha memulihara serta menjamin kelestarian sumber khazanah bumi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan