KUCHING, 9 April: Petinju terkenal Filipina, Herlan Gomez disahkan akan menjadi ‘sparring partner‘ kepada Daeloniel McDelon Bong sebagai sebahagian persiapan menghadapi Kejohanan Tinju Dunia (WBC) di Sarawak bulan depan.
Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo berkata, kehadiran pemenang pingat perak kejohanan dunia itu merupakan antara persediaan yang dilakukan pihaknya untuk memantapkan lagi petinju Sarawak yang dikenali dengan gelaran ‘kilat boy’ itu.
Jelas beliau reputasi hebat dimiliki Gomez membuatkan pihaknya tertarik dengan bekerjasama dengan atlet itu yang telah merangkul dua gelaran Asia .
“Gomez menang WBC Asia Bantam dan Bantamweight Champion Persekutuan Tinju Asia (ABF) Thailand pada tahun lepas,” katanya pada sidang media sempena acara itu semalam.
Sementara itu Rahman memaklumkan acara utama pada WBC Sarawak akan menemukan Daeloniel dengan Yutthichai Wannawong dari Thailand untuk pertarungan Super Bantam Weight.
“Selain itu terdapat juga pertarungan melibatkan petinju Jepun dengan India untuk kategori Flight Bantam Weight,” katanya.
WTC Sarawak akan menyaksikan petinju bertarung merebut hadiah wang tunai dan tali pinggang serta merebut gelaran Kejohanan Super BantamWeight Super Asia WBC Perak.
Sementara itu Rahman memberitahu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga akan hadir menyaksikan acara itu yang dijadual pada 11 Mei. -TVS