Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol berkata semua pihak tidak sepatutnya menjadi ‘batu api’ yang dikhuatiri mencetuskan ketidakharmonian hubungan dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Elak sentimen perkauman, jangan jadi ‘batu api’ – Abdullah

BySaibi Gi

SIBU, 4 April: Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol mengajak pelajar institusi pengajian tinggi dan belia pelbagai kaum menjadi ejen mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak.

Menurutnya, golongan ini wajar menjadi ejen perpaduan yang menyemai jiwa besar dan jati diri yang tinggi agar generasi muda mendakap nilai kemanusiaan dan kedamaian sejati.

Datuk Abdullah Saidol bersama para tetamu yang lain pada Majlis Sungkei Bersama UKAS di Sibu pada Rabu. Foto UKAS

“Sejak akhir-akhir ini, perpaduan kaum dan agama masyarakat kita dicabar oleh sentimen-sentimen berbaur perkauman disebabkan tindakan tidak sensitif pihak tertentu.

“Untuk memastikan suasana yang meresahkan ini tidak menular menjadi serius sehingga mampu meretakkan persefahaman komuniti antara kaum, kita harus memberi respon dengan cara yang berhemah dan matang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sungkei Bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak di sini pada Rabu. Selain pengamal media, majlis itu dihadiri pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan), Kolej Laila Taib, Maritim Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak, Kolej Vokasional Sibu, Kolej Komuniti Sarikei, pelajar Tahfiz Darul Ullum dan Tahfiz Hidayatul Quran An-Nur.

Warga muda adalah pewaris kepimpinan dan pendukung nasib masa depan bangsa Sarawak, justeru beliau menyeru warga muda agar tidak mudah terjebak dengan sentimen-sentimen beremosi dan menjauhi elemen-elemen perkauman.

“Semua pihak tidak sepatutnya mudah melatah dan bertindak menjadi ‘batu api’ yang mungkin mengeruhkan keadaan,” katanya.

Perpaduan kaum adalah keunikan wajah bangsa Sarawak yang paling ‘cantik’ dan ia adalah khazanah budaya pelbagai kaum negeri ini yang harus dibangga dan dipertahankan, jelasnya.

“Selain kestabilan politik dan keharmonian masyarakat amat penting untuk memastikan pembangunan negeri dilaksanakan dengan lancar dan cekap,” ujarnya.

Abdullah berkata lagi, ketika kerajaan Sarawak memberi tumpuan agresif ke arah pelaksanaan pelbagai polisi untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi dan pembangunan infrastruktur negeri, setiap ahli masyarakat Sarawak dari berbilang bangsa dan agama mesti turut menanggung tanggungjawab memastikan perpaduan dan keharmonian sosial diteguhkan.

“Kerosakan kemudahan awam seperti jalan raya atau jambatan dapat dibaiki atau dinaik taraf dengan mudah dalam tempoh tertentu, tetapi kecederaan atau keretakan keharmonian kaum sehingga menimbulkan kebencian dan kecurigaan yang melampau sukar hendak dipulih,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menerangkan bahawa UKAS berperanan merapatkan jurang informasi antara kerajaan dan masyarakat.

Tanggungjawab asas UKAS bersifat dua hala, iaitu memastikan masyarakat secara am memahami pelbagai polisi dan tindakan kerajaan dan dalam masa yang sama menyalur kepada kerajaan maklumat berkaitan persepsi dan keperluan masyarakat dari akar umbi.

Menurutnya, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa mengambil pendekatan untuk tidak akan bertindak menggubal polisi ekonomi dan pembangunan negeri tanpa mengambil kira persepsi dan maklum balas konstruktif masyarakat.

Ini adalah untuk memastikan setiap polisi dan tindakan kerajaan adalah menepati sasaran keperluan masyarakat dan mengukuh kedudukan masa depan Sarawak dari segi ekonomi dan kemajuan.

“Kerajaan Sarawak turut mengambil berat tentang pembangunan modal insan dalam kalangan warga muda Sarawak supaya dasar ekonomi baru Sarawak akan diwarisi dan diurus oleh anak Sarawak sendiri.

“Saya mengajak pelajar-pelajar IPT untuk mengadakan latihan industri atau amali di jabatan-jabatan kerajaan Sarawak. Selain dari meraih pengalaman bekerja, anda turut berpeluang memahami serba-sedikit bagaimana pentadbiran kerajaan berfungsi,” ujarnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan