KUCHING,15 Mac: Orang ramai diingatkan agar bersiap sedia mendepani keadaan cuaca panas dan kering seperti semasa kemarau atau fenomena El Nino.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah Belaga, Dr. Noor Baizura Jamali berkata, kesedaran terhadap keadaan cuaca sedemikian amat penting terutamanya kepada mereka yang bekerja di luar serta di bawah terik matahari.
“Adalah penting untuk mengambil langkah-langkah keselamatan dan kesihatan seperti minum air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi, menggunakan pelindung matahari seperti topi, payung, dan krim matahari yang sesuai SPF untuk melindungi kulit dari terik matahari.
“Memakai pakaian yang longgar, berwarna terang, dan berbahan bernafas untuk membantu mendinginkan badan,” kata Dr. Noor Baizura ketika dihubungi TVS di sini, hari ini.
Kata Dr. Noor Baizura lagi, sekiranya boleh orang ramai juga diingatkan untuk menghindarkan diri keluar pada waktu tengah hari berikutan ketika itu sinaran matahari adalah sangat terik.
“Sentiasa berada dalam lingkungan yang berhawa dingin atau beralih ke tempat yang teduh jika terlalu panas,” katanya lagi.
Terdahulu negeri Sabah yang kini terkesan akibat fenomena El Nino dan isu bekalan air memerlukan perhatian yang khusus daripada pihak berwajib.
Cuaca panas dan kering itu juga telah memberi kesan yang serius terhadap sektor pertanian khususnya di Sabah. -TVS